INFORMASI TERKINI

Saturday, 23 May 2015

“Maafkan Saya The Red Warriors” – Luahan Amirizwan Penyebab Penalti

KUALA LUMPUR – “Maafkan saya”. Itu permintaan pertahanan Kelantan, Amirizwan Taj Tajuddin selepas dia melakukan kekasaran ke atas pemain lawan sehingga menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Lions XII dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Taj Tajuddin
Katanya, dia benar-benar tidak sengaja menjatuhkan penyerang Lions XII, Mohd. Sahil Suhaimi dalam kotak penalti pada saat-saat akhir perlawanan, malah bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu turut mengakui berada dalam keadaan tertekan ketika kejadian itu berlaku.
“Malam ini sudah pasti bukan menjadi milik kami kerana kami telah tewas kepada Lions XII. Kami banyak menguasai permainan malah kerap mencipta peluang namun gagal menyempurnakannya dengan baik. Kami juga akui telah melakukan kesalahan-kesalahan kecil sehingga menyebabkan gawang kami dibolosi.
“Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sahaja dan saya berada dalam keadaan tertekan pada waktu itu. Saya cuba melakukan terjahan ke atas bola namun pemain itu bijak mengawal keadaan sehingga menyebabkan pengadil perlawanan membuat keputusan untuk memberikan sepakan penalti kepada Lions XII.
“Sememangnya saya mahu memohon maaf kepada ribuan penyokong Kelantan pada malam ini kerana mereka telah datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini.
“Saya harap mereka semua boleh memaafkan saya dan memberi ruang kepada saya lagi. Maafkan saya penyokong The Red Warriors,” katanya kepada pemberita di sini semalam selepas perlawanan.
Dalam perlawan tersebut, Lions XII berjaya membenam Kelantan 3-1. Gol skuad kendalian Fandi Ahmad dijaringkan oleh Muhd. Faris Ramli dan dua lagi dijaringkan oleh Sahil Suhaimi salah satunya menerusi sepakan penalti. Gol saguhati The Red Warriors diperolehi menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor.
Dalam pada itu, Amirizwan Taj yang baru sahaja menyertai Kelantan pada musim perpindahan April lalu menganggap dirinya masih bertuah kerana dapat beraksi di pentas final meskipun gagal mendakap trofi kemenangan.
“Bagi saya sebagai pemain yang baharu menyertai pasukan ini saya masih menganggap diri saya bertuah kerana saya dapat beraksi di perlawanan akhir bersama Kelantan walaupun kami gagal membawa pulang trofi kemenangan.
“Mungkin ini akan saya jadikan motivasi untuk membantu pasukan dalam mengharungi baki Liga Super yang akan bersambung tidak lama lagi dan saya juga berharap dapat membantu Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia pada tahun ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment